Dalam setiap pilihanraya kecil, UMNO lambat panas, mudah tenggelam punca mahupun mudah kena troll dengan pihak pembangkang. Begitu jugalah di Pengkalan Kubor. Sebelum tiga hari terakhir kempen di Pengkalan Kubor, culaan mendapati PAS mendahului UMNO-BN pada angka 800. Dengan kata lain, kemenangan PAS sudah ada dalam tangan.
Dengan kempen UMNO yang tersangat teruk, lemah dan lembik, selain seperti sedang makan angin, terutama dengan gaya pemimpin-pemimpin yang datang untuk memperlekehkan penduduk tempatan, kebanyakan yang berada di Pengkalan Kubor, amat yakin, UMNO akan kehilangan kerusi DUN Pengkalan Kubor.
Terlalu banyak PANTANG LARANG yang perlu dituruti oleh petugas-petugas UMNO. Beberapa UMNO Negeri yang datang membantu, merungut dan ada yang balik awal. Kerjasama daripada UMNO tempatan dan UMNO Negeri Kelantan, bagaikan tidak wujud. UMNO-UMNO Negeri terpaksa buat kerja tanpa sebarang panduan. Segala-galanya terpaksa ditanggung sendiri termasuklah perbelanjaan dan taktik berkempen.
Dengan lagak seperti terlupa mereka masuk ke tempat orang, kebanyakan pemimpin Pemuda dan Puteri UMNO ternyata memalukan kerana mereka tidak berfungsi untuk menarik sokongan Saluran 4, 5 dan 6. Lebih memalukan lagi ialah penduduk tempatan turut merungut apabila ROMBONGAN PEMIMPIN UMNO datang dengan kenderaan yang digiring pasukan khas, menahan dan menyekat aliran trafik sesuka hati dan memandu laju di jalan-jalan sekitar Pengkalan Kubor.
Kelesuan berkempen kerana dibataskan dengan pelbagai larangan, akhirnya menyebabkan keputusan 'tidak patuh' kepada kepimpinan dibuat. Wanita UMNO sekali lagi muncul sebagai perwira sebenar kempen UMNO di Pengkalan Kubor, sama seperti dalam kempen-kempen PRK yang lain sebelum ini. Terjahan dari rumah ke rumah yang merupakan modus operandi Wanita UMNO berjaya melenyapkan sedikit demi sedikit kekalahan UMNO-BN di Pengkalan Kubor.
Sebenarnya, kalau UMNO tidak dibantu di Pengkalan Kubor dan kalau Wanita UMNO sama cacat fungsi seperti Pemuda dan Puteri, UMNO sudah ruyup di Pengkalan Kubor. UMNO tenggelam punca dari awal lagi walaupun ada yang cuba menyedapkan hati sendiri dengan memuji-muji UMNO Kelantan kerana telah merancang kempen secara sistematik.
Mereka yang berada di lapangan, terutama sekali dengan kepincangan talian telefon dan Internet, pastinya dapat melihat sendiri bagaimana kempen secara LIFESTYLE sebenarnya tidak lebih daripada satu retorik kempen yang menunjukkan pemimpin-pemimpin pelapis UMNO tidak boleh diberikan harapan untuk menggalas tanggungjawab lebih besar.
Seperkara yang menarik dan menjadi persoalan ialah, sampai bila sebenarnya para pemimpin UMNO terutama sekali dari kalangan Pemuda dan Puteri benar-benar mahu bekerja untuk parti selain tidak memandang ringan tanggungjawab serta cabaran yang akan mereka hadapi. Taraf dan status Pemuda dan Puteri UMNO berbanding Pemuda dan an-Nisa' PAS terlalu jauh berbeza walaupun Pemuda dan Puteri UMNO datang dengan kenderaan-kenderaan mewah yang dipandu secara angkuh di kawasan-kawasan seperti di Pengkalan Kubor.
Dan sampai bila pula, apabila ada teguran dibuat untuk memperkasakan dan menjadikan Pemuda serta Puteri UMNO lebih 'RAKYAT DAN LEBIH MELAYU', tiada lagi caci nista, sebaliknya segera diambil tindakan selain beriltizam untuk mempertingkatkan mutu kerakyatan dan kemelayuan UMNO seperti yang berlaku dalam kes di Kampar membabitkan seorang aktivis muda UMNO yang rumahnya runtuh ditimpa pokok beberapa hari lepas?
Tidak seperti kaum KEYBOARD WARRIOR yang sangat gah mendabik dada kononnya mereka menyumbang kepada kemenangan menerusi penggunaan media sosial, golongan yang tidak didendangkan itu tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan walaupun sudah ada di kalangan UMNO sendiri yang mendabik dada dan bercakap besar kononnya kemenangan di Pengkalan Kubor adalah usaha UMNO walaupun sebenarnya TIDAK!
Kemenangan di PRK DUN Pengkalan Kubor sebenarnya bukanlah kemenangan UMNO. UMNO masih tidak menang. UMNO masih pincang dan UMNO masih lena diulit mimpi serta khayalan besar!
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !