KUALA LUMPUR, 23 Jun – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menyifatkan kekecohan yang berlaku di dalam pemilihan PKR yang sehingga hari ini masih tidak selesai sebagai satu cerminan betapa huru-haranya pentadbiran parti tersebut di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, apa yang berlaku dalam pemilihan PKR ini merupakan gambaran kepada suasana dalaman parti tersebut yang bergolak dan penuh konflik ekoran kelemahan kepimpinan peringkat tertinggi PKR.
“Bagi saya, segala kekecohan yang berlaku di dalam pemilihan parti PKR merupakan satu gambaran atau pun cerminan terhadap pergolakan dan konflik dalaman parti tersebut yang kini semakin meruncing.
“Dakwaan daripada ahli-ahli mereka sendiri berhubung unsur-unsur penipuan undi, rasuah dan sebagainya yang berlaku di dalam pemilihan parti tersebut sudah cukup untuk memperlihatkan bahawa PKR bukanlah sebuah parti yang telus dan berwibawa seperti yang seringkali didakwa oleh pemimpin mereka, tetapi ianya jelas berlaku yang mana dapat dirumuskan bahawa PKR sebuah parti yang penuh dengan masalah dan konflik dalaman hingga menyebabkan berlakunya huru hara,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambah beliau, pemilihan kepimpinan di dalam PKR ini mungkin dilakukan hanya sekadar untuk mencukupi syarat kepada perjalanan sesebuah organisasi parti politik sedangkan di sebalik itu ada ‘tangan-tangan ghaib di dalam parti’ yang telah mencatur keputusan bakal kepimpinan parti tersebut.
“Kita boleh lihat, sepanjang tempoh pemilihan PKR yang berlansung hari ini, sudah lebih lima daripada anggotanya diketepikan kerana pelbagai kesalahan termasuklah kerana mengkritik parti serta menyalahgunakan kuasa ketika pemilihan.
“Bahkan, mereka yang mengkritik perjalanan pemilihan parti yang dianggap tidak telus dan tidak adil turut dipecat. Ini membuktikan bahawa PKR hakikatnya diperintah secara diktator oleh Anwar Ibrahim yang mahu mengekalkan keluarga dan kroninya untuk terus berkuasa diperingkat tertinggi parti,” ujarnya.
Justeru itu, beliau meminta agar rakyat membuka mata dan menilai dengan pemikiran yang rasional dan matang, apakah parti yang tidak mampu untuk menguruskan pemilihan yang sekecil itu dengan baik akan mampu untuk mentadbir dan membawa kemakmuran kepada negara?
“Sekiranya parti yang sekecil itu pun tidak mampu ditadbir urus dengan baik, bagaimana kepimpinan PKR boleh kita amanahkan untuk menjadi kerajaan bagi mentadbi rnegeri atau negara. Kita boleh lihat bagaimana di Selangor yang diperintah oleh PKR, berdepan akibat terlalu banyak berpolitik, maka rakyat akhirnya jadi mangsa ketika krisis air yang berlaku di negeri itu baru-baru ini.
“Jadi saya harapkan agar rakyat di seluruh negara dapat melihat perkembangan di dalam PKR ini sebagai satu iktibar dan pengajaran agar tidak terus tertipu dengan helah dan tipu daya mereka dengan memburukkan kerajaan.
“Selama ini, kepimpinan PKR, khususnya Anwar yang seringkali mengkritik SPR tidak telus dan sebagainya, sedangkan hakikatnya hari ini kita dapat lihat betapa kecoh dan huru haranya pemilihan parti itu sama seperti huru haranya pentadbiran parti tersebut di bawah kepimpinan Anwar,” ujarnya.-MediaUMNO
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !