Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat
sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh
selepas insiden pertumpahan darah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Beliau berkata walaupun kerajaan berhati-hati dalam
menangani isu itu pada peringkat awal dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa
pertumpahan darah, malangnya ia tidak dihargai oleh mereka sehingga sanggup
membunuh anggota pasukan keselamatan negara.
"Sekarang ini saya fikir tidak ada jalan lain melainkan
kerajaan melancarkan serangan balas supaya dapat dihapuskan sama sekali pasukan
Sulu ini walaupun dengan (tindakan) ini ramai mereka terbunuh, tapi ini tidak
dapat dielakkan kerana mereka yang menyerang Sabah, bukan kita yang menyerang
mereka," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan pada Himpunan
Rakyat Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini,
Ahad.
Katanya tindakan keras yang diambil mungkin akan menyebabkan
ramai daripada penceroboh itu mati serta anggota keselamatan negara akan
menjadi mangsa.
Pada pendapatnya, insiden yang berlaku itu tidak akan tamat
begitu sahaja kerana pihak penceroboh boleh melakukan serangan-serangan hendap
pada masa depan.
Kerajaan diharap mengadakan persediaan awal menghadapi
serangan berturut-turut pada masa akan datang, terutama keperluan terhadap
pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal dan menyekat bot-bot
yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi yang mungkin membawa pasukan penceroboh
atau menyeludup senjata, katanya.
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan walaupun pada
mulanya kita ingat percubaan mereka itu untuk menawan Sabah sebagai percubaan
yang sia-sia tetapi kita tahu mereka akan menjadi gerila dan akan melancarkan
serangan pada masa depan," katanya.
Mengenai ada pihak yang mempertikai tindakan kerajaan yang
memberi kuasa kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak
terlebih dahulu berbanding pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung
pencerobohan tersebut, Dr Mahathir berkata negara mempunyai dua bahagian
keselamatan.
"Kita bahagi keselamatan kepada dua bahagian iaitu yang
datang dari luar yang biasanya tindakan diambil oleh tentera manakala yang
berada di dalam negara adalah tanggungjawab polis. Pada mulanya kita tidak
anggap pencerobohan itu sebagai serangan luar kerana mereka ini berada dalam
wilayah kita," katanya.
Bagaimanapun, apabila pencerobohan dan serangan kini jelas
datang dari luar maka difahamkan pihak tentera diarahkan untuk memgambil
bahagian dalam tanggungjawab itu, katanya.
Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan dilihat
'berlembut' dengan pihak penceroboh terbabit, beliau berkata sememangnya
kerajaan tidak mahu mengambil tindakan sehingga membunuh kerana mereka juga
mempunyai keluarga dan rakan sebagai warganegara di Sabah.
"Sebab itu kita berhati-hati bertindak begitu pada
awalnya, lagipun mereka ini orang Islam, kita orang Islam, kita tidak mahu
tergesa-gesa, tetapi mereka tunjukkan niat jahat dengan menembak dua anggota
polis kita. Sekarang ini peristiwa ini tidak boleh dianggap boleh diselesaikan
dengan rundingan," katanya.
Mengenai laporan media asing bahawa kedatangan penceroboh
terbabit ke Lahad Datu adalah atas "jemputan" seorang ahli politik
pembangkang, Dr Mahathir berkata ahli politik itu menjanjikan banyak perkara
bagi Sabah termasuk memberikan kuasa autonomi jika pembangkang menang pilihan
raya. -BERNAMA
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !