Hadi, Kit Siang Bakal TPM, Anwar Bakal....
Dua hari lepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dalam wawancaranya
dengan akhbar Cina, Sin Chew Daily telah menamakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang
dan presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebagai bakal TPM sekiranya Pakatan rakyat
(PR) berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat dalam PRU 13.
Dalam pada itu Anwar juga mengakui tiada perbincangan serius
di kalangan parti-parti pembangkang berhubung perkara tersebut. Maksudnya belum
ada keputusan muktamad yang telah dicapai, tapi peliknya Anwar sudah
memandai-mandai membuat pengumuman sebelah pihak.
Tentu ada udang di sebalik batu. Memang pun kenyataan Anwar
itu ada matlamat tersiratnya.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini kecoh di kalangan
pemimpin dan penyokong PR mengenai pendirian rasmi Majlis Syura Ulama PAS yang
secara jelas menolak idea untuk melantik Anwar sebagai PM. Salah satu alasan
penolakannya kerana Majlis Syura agak meragui kelayakan Anwar dari segi moral
dan akhlaknya untuk menjadi pemimpin utama negara.
Keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat tanpa
kehadiran Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat itu memang mengecewakan
Anwar, lebih-lebih lagi bila mengetahui badan tertinggi PAS itu juga telah
muktamad untuk melihat Hadi Awang sebagai calon rasmi PR bagi jawatan PM.
Menyedari polemik jawatan PM ini bakal menyebabkan
kewibawaannya makin terancam dan menjejaskan sokongan pengundi kepada PR, sebab
itulah Anwar tiba-tiba sahaja membuat pengumuman sebelah pihak tanpa terlebih
dahulu menunggu keputusan bersama Majlis Pimpinan PR.
Anwar juga tidak menyebut secara langsung yang dirinya
adalah bakal PM kerana tahu tindakan tersebut akan mengundang reaksi balas dari
majlis Syura Ulama PAS. Lantaran itu, dengan membuat pengumuman nama calon TPM,
ia akan mencipta persepsi umum bahawa Anwar adalah satu-satunya calon PR untuk
jawatan PM.
Dengan berbuat demikian juga Anwar mengharapkan PAS akan
kembali menyokongnya sebagai satu-satunya calon PR bagi jawatan PM seandainya
PRU 13 nanti memihak kepada gabungan longgar yang tidak berdaftar dengan ROS
itu. Di masa yang sama Anwar cuba mengukuhkan kedudukannya dikalangan pengundi
Cina apabila nama Kit Siang turut dinamakan sebagai TPM.
Strategi Anwar mungkin kelihatan bijak dalam mencipta
persepsi , namun ia tidak dapat menafikan hakikat bahawa selagi polemik isu
siapa sebenarnya calon rasmi PR sebagai PM terus berpanjangan dan tiada kata
sepakat yang muktamad diputuskan, natijahnya tentu sahaja akan semakin
menjejaskan prestasi PR dalam PRU 13 kelak.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !